Thursday, June 13, 2013

tentang seorang manusia.

Mari sini,
Aku ceritakan tentang seseorang.
Tentang hidupnya serba sedikit yang ada dipengetahuanku.
Tentang hidupku sebelum menemuinya.
Tentang perjalanan yang masih jagung ini.

Apa sama kami berdua?

Mari kita putar beberapa tahun dahulu. Ketika kami masih di dalam dunia masing-masing. Dia dengan caranya. Aku dengan hidupku. Mencari bahagia, yang kononnya ada di celah-celah orang ramai bersorak mengikut rentak bunyi. Yang kononnya ada di gelap pekat malam syurga dunia. Carinya bukan sekadar itu, malah merata. Kepuasan dari segala segi. Mencantik diri, bergayutan tindik disana-sini. Berpalit wajah berwarna warni. Berhelai rambut diwarna rapi. Berhelai baju mendedah diri. Berkepul asap disedut lepas sehari-hari.

Kononnya ada cinta disitu. Konon ada penenang serabut kepala. 
Tapi bilawaktu menjatuh kepala ke dada bantal, hati mendesah juga. Merenung siling mencari jawab dimana salah, apa kurangnya diri sehingga resah begini. Apa malangnya nasib tak untung seperti yang lain. Apa bezanya dimata tuhan, diri kecil aku ini.

Butanya.

Sampai tidak nampak segala dosa setiap saat. 
Sampai tak ingat lupanya bagaimana lembut tikar sejadah. 

Masih aku ingat, dia sahabat baik temanku. Yang mana bila kupandang stylenya aku terdetik dihati - 

'tidak,aku tak bergaul dengan budak begini.' 

Bukan kerana aku benci membabi buta. Tetapi cara hidupnya dengan aku itu lain. Dia kasar, pakaian hitam kebiasaannya. Tempatnya di gig-gig sekitar. Kenal, kawan. Tapi sekadar begitu aja. Tidak pernah aku berminat untuk tahu lebih. Kerana dia juga sahabat kepada seorang blogger yang aku kenal, makanya aku yang pada waktu itu blogger tegar juga ikuti perkembangan dari feed. 

Tak sangka, dia sang pencinta. 
Pencinta ayat dan sastera. Minat kami sama!
Bahasanya indah tidak menggambarkan siapa dia dizahirnya.


Tapi masih, aku menjarak diri. Mungkin rasanya it will not work out between us
Ceh, seperti pasangan mahu mencorak cinta gayanya. But yeah, i thought that way, im not going to lie. 

Kebetulannya, sahabat aku seorang lagi juga teman baiknya. Maka rapat kami menjadi lebih selepas itu. Barulah kami berhubung kerap melalu telefon. Melalui pesanan ringkas dan juga di applikasi chatting. Berbual, melalui group chat. Berkongsi cerita bagaimana masing-masing berasa hati mahu kearah hijrah. 

Dia cerita pada aku tentang mimpinya diseru supaya bersolat, menutup aurat.
Aku menceritakan tentang rindunya zaman aku dulu di maahad.

Masing-masing sebak dada.
Memandangkan jauhnya perjalanan di jalan sepi berhiaskan dunia.
Menjadikan diri lupa Dia pencipta.

Aku tak sangka, dia yang kutolak dari menjadi kawan aku kini menjadi seperti sahabat yang mana kucari bila rasa perlu untuk meluah kekusutan jiwa. Yang mana bila aku mahu seseorang yang aku perlu bila sebak memberat mengenang dosa, dia adalah orang yang aku cari. Kerana hati kami sama. Pemurah airmata. Saat-saat paling manis adalah tiapkali kuhantar dia pulang, dalam kereta kami menangis bersama membicara tentang dosa.

Sejak dari itu, dia yang aku kenal; bukan lagi siapa dia yang pertama dan terakhir kalinya aku jumpa tidak bertutup kepala. Dari tudung berselimpang fesyen, kini bertutup dada bersarung kaki tangannya. Dia yang selalu membawa Quranul Karim peneman setia.


Ya,awak.
Quran pink itu :')

Yang mana tika membelinya akulah peneman. Persamaan kami berdua - membaca,menulis menyuarakan jiwa. Bersama mengingati andai salah seorangnya terlupa. Dia, mengenalkan dan mengajak aku ke majlis ilmu bersama. Tika terkeliru, maka bercarianlah kami menyoal bincang. Menambah pengetahuan. Bersama, kami bina ukhuwah yang tak pernah aku fikir akan terjadi.

Allah,
betapa cantiknya percaturanMu dalam hidup aku. Bila memandang sepi seseorang, untuk terus menidaknya, belum tentu. Allah meniup kasih sayang maha hebat ini dalam segenap inci rohku. Menyayangi insan seperti menyayangi ahli keluarga, seperti darah dagingnya sama. Betapa cantiknya, cinta sesama manusia. Walau tidak kenal, walau pernah aku tolak kemungkinannya. Tuhan mahu aku bahagia, tapi bukan dengan cara yang pernah aku cari suatu masa dahulu.

Benarlah janji tuhan dan kata orang,
bilamana terdetik dihati kita mahu berubah, mahu mendekatiNya - akan dihantar mereka yang berhati baik mengelilingi kita menyebar cinta. Walau kami pernah menyimpang jauh. 

Awak,
if you happen to be reading this, ketahuilah saya cinta awak dunia akhirat. Menjadi sahabat awak, berjalan beriringan menuju ke syurga Allah. Kita sama-sama tidak sempurna, justeru marilah berdoa supaya hati kita diperkuat untuk meniti sirat kelak. Moga diperteguh, moga diberkati. 

Saya bersyukur dipertemukan dengan awak atas izin Ilahi. Kerana seperti petunjuk yang dicari, Allah bagai memberitahu kita untuk saling melengkapi dari seorang yang pincang menjadi hamba yang percaya pada yang satu dan abadi. Doa saya untuk awak sentiasa menghiasi, moga awak kuat dan kita akan tetap bersama hingga ke akhir nanti.

Aisyah Azman.

Bersejahteralah awak selalu.
Berbaktilah kepada keluarga dan sayangilah diri.
Dunia mungkin bahagia, tapi tidak selalu sempurna. Maka bertahanlah, sabar itu kunci.
Janji tuhan itu pasti.

Semoga awak tidak jemu melakar perjalanan ini walau seratus tahun lagi.
cause i promise i wont :)






Love you so much, sister.









Monday, April 15, 2013

ketika sedihmu dan dukamu...


Ithnin.

Salaam,

Alhamdulillah isnin berjaya diharungi dengan aman :) Syukur, tidak hari ini dipilih menjadi salah satu hari yang sulit bagi aku. Minggu ini dijadualkan aku masuk kerja shift tengahari. Berula jam 11 pagi sehingga 8 malam. Sebenarnya ada pros and cons tersendiri untuk jadual sebegini. Bagusnya adalah kerana trafik kurang sibuk diwaktu pergi dan balik. Dan juga bisa melakukan barang satu dua kerja pada waktu pagi. Kurangnya adalah kerana di waktu malam kau akan rasa sunyi berseorangan (hanya seorang sahaja seminggu yang memikul tanggungjawab bekerja shift petang/malam). 

And life has been good to me too. 

Bulan ini budget sedikit lari. Hari hari aku mohon pada Allah supaya dipermudahkan hidup. Walau kadangkala malu aku meminta-minta bila melihat diri sendiri yang tidak hampir pun kepada sempurna. Masih banyak sompek kurangnya disana-sini. Hati jiwa masih belum cukup bersih. Tapi, masih - Allah permudahkan dan memberi setiapkali aku meminta. Diturunkan rezeki yang datangnya entah dari mana. Yang takkan terlintas sedikit pun di hati aku. Tuhan tu maha pemurah. Bagi aku, setiapkali hidup dipagut payah - jangan pernah putus asa. Jangan merungut, apatah lagi menyalahkan nasib atau takdir. Sebab tuhan tu adil. Allah tak pernah menurunkan dugaan tanpa alasan. Hikmah apa, nanti-nanti baru kita tahu. Masa itu baru kau akan rasa betapa nikmatnya kasih sayang tuhan. Baru kau tahu cinta tuhan itu lebih besar dari segala-galanya.

Masih banyak hidup aku perlu diperbaiki. Dari segala segi. Kadangkala aku kecewa dengan diri sendiri yang banyak lalai dari ingat. Banyak main dari bersungguh. Bila lihat orang lain jauh ke depan, i cant help to feel small. But then i quickly reminded myself, i am just like anyone else too. Yang mana kalau aku usaha, dengan izinNYA insyaAllah i will be exactly in the same shoe. Cuma waktu, cepat atau lambat. Sabar, Allah lebih tahu rencananya. 

Pasang niat dan angan-angan. Mintalah dengan tidak pernah putus. Tidak ada yang mustahil dengan izinNYA. Tidak ada yang tidak boleh dengan 'kun fayakun'. Allahurabbi. 

Okay. Its time for bed now :)
See you again tomorrow insyaallah. No poem tonight as my brain is not functioning well due to exhaustion hehe.

Goodnight and assalamu'alaikum!

Sunday, April 14, 2013

kering rasa.

rasa diperah kering
dan meninggalkan hampas 
rasanya tiada, kosong tidak berlagu
bahagianya hilang

marilah sentuh lagi
buatlah apa mahumu
supaya puas serakahmu


aku ini,
sudah tiada jiwanya.

yang ke akhir kalinya.

buruk engkau aku terima
apatah lagi busuk daging hatimu

cela aku tulikan
walau mual segala deria
kulit aku gagahkan
biar biasa dengan peritnya

kini aku sedar
hendak digagah tahan
sampai bila?

lihat aku bangkit
menongkah segala peluru yang menuju aku
yang cuba meratah dagingku
menepis pisau yang berterbangan laju
cuba menoreh kulitku yang biru

lihat sini -
akanku kesat mata bengkak ini buat terakhir kali
kerana esok hari
cinta kau akanku kubur mati.

ajari aku tentang hidup

hey, kamu disana
masih terdengarkah dicupingmu suara lunakku
yang katamu menawar segala sakit dukamu

teriakku hampir putus memanggilmu
agar kembali 
sini --
ke hadapan aku ini
agar dapat kutatap semula jernih wajahmu
apa masih kau rasa cinta?

langkahmu yang seribu pergi meninggalkan aku
tiada dijelas apa kurangku
aku lihat dan aku hantar dengan jerih lukaku
semoga kau pautkan sebentar dan rasakan
ini hati aku;
yang hancur ini hati aku!

yang ada kini cuma luluh
dan bekas pisau yang menikam sukmaku
biarkan, biar ia disini saja
supaya bisa kuingat
bagaimana berdarah
pada waktu itu
waktu kau meninggalkan aku

agar aku mengerti
bahwa segalanya berkemungkinan
namun -
tiada wujud cinta sekukuh cinta Dia
makanya akanku bersyukur
kerana masih ada waktu untuk hidupku
dan aku akan terus menanti rusuk kanan itu.


Saturday, April 13, 2013

harum kasturi.

semenjak hari itu
hari kau lafazkan janji memiliki aku
hari kau merubah pintu syurgaku
hari kau alih dan pikul beban dipundakmu

sudah aku tetapkan
segala cinta dan taat rohku hanya kepadamu
selepas jiwa pada tuhanku
engkau --
arjunaku
kekasihku 
suamiku

pandang ke depan
jauh lagi perjalanan kita
entah likunya di mana
gelombang setinggi mana
bagai yang tertulis dilomahfuz;
oleh itu jangan lepaskan tangan aku
yang sentiasa menggenggam kuat
meniti titian redha bersulam doa

kau, zaujiku
ketuailah semuanya dalam diriku ini
telah kuserahkan segenap inci 
berpahalalah aku atas segala peluang kebaikan ke atasmu
dari menjagamu
memilikimu
hatta dengan sentuhanmu pun aku diganjarkan
aku ini --
akan tetap kan dipasak ini hingga ke syurga

suatu hari nanti akan aku jadi bidadari
yang tercantik terindah buat tatapanmu
menjadi ahli untuk selamanya
dalam alam seharum kasturi itu
terpaling indah tak terbandingkan

mari kekanda,
tuntunkan aku nanti
untuk meniti sirat
menuju ke pintu syurga itu.



---------------------------


“Rasulullah s.a.w ditanya tentang sebaik-baik wanita. Baginda menjawab: Yang menyukakan kamu apabila memandangnya. Apabila disuruh, dia patuh, menjaga rahsiamu dengan baik dan menjaga harta kamu.”

Riwayat Ahmad dan selainnya dan dihasankan oleh al-Albani. 




si cantik itu.

ke mari,
akan kuceritakan sesuatu yang indah
yang menjadi harta perhiasan dunia
harganya tidak ternilai
cantiknya tersendiri

lembutnya manis
suaranya halus

beruntungnya 
terlalu mudah menjenguk syurga
tuhan sudah menjanji --
menanti sebagai bidadari 
untuk bercinta selama-lamanya
asal cukup syarat mudahnya

dia juga,
antara tergagah tuhan ciptakan
menampung nyawa di rahim kecilnya
menahan sakit tak terbanding melahirkan harta
mengasuh mengasih sehingga tua
untuk anakanda mencium syurga ditelapak kakinya

dia ini,
terangkat tinggi darjatnya
terlalu mahal maruahnya
indahnya, hanya untuk yang bukan ajnabi
taat cintanya hanya untuk zauji

sekarang,dengarkan
ingatkan
lihatkan
dia itu,
namanya perempuan.


----------------------------


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang wanita melakukan solat lima waktu, puasa Ramadan, memelihara maruahnya, dan taat suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki.”


“Dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah.” 
(Hadis Riwayat Muslim)

tentang rasa patah.





Assalamualaikum.

Sakit apa yang pernah kau rasa paling sakit dalam dadamu? Sakit ditipu? Sakit diterajang? 

Hari ini, mari berbual tentang sakit ditinggalkan.Tentang sakitnya bila mengenal seseorang, mencinta, meluah sayang tapi pengkahirannya kecundang di tengah jalan. Terperosok di bilik tidur suram, mencangkung di tepi dinding berambut serabai dengan mata yang bengkak mengalir air. Kerana dia yang kau sayang itu takdirnya tidak lagi bersama kau - atas apa alasan sekalipun; meninggalkan kau kerana bersama orang lain, meninggalkan kau kerana kecurangan mahupun perangai kau, hatta meninggalkan kau untuk bersama Pencipta. 

Pergi.
Hilang.
Kosong.

Itu hakikat yang kau perlu tempuhi. Tiada lagi dia. Kenangan manis yang ada itu sajalah yang bisa kau buat peneman waktu sunyi. Yang kadangkala kau harap dimatikan saja akalmu untuk menghilangkan ingatan menyakitkan itu. Pedih yang menjalar itu kau rasa terpaling sakit, kau soalkan jua kenapa diri kau yang terpilih untuk merasakan derita. 

Fitrah.
Manusia akan mempersoalkan mengapa dia yang merasa. Mengapa tidak orang lain? Manusia akan merasakan bahawa itu satu azab dan nasib malang yang menimpa. Namun, pandanglah dari sudut yang positif. Ada baiknya dugaan menimpa. Ada hikmahnya atas setiap apa yang terjadi.



Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya. [Al-Baqarah: 286]


Bangkitlah mengahadap tuhanmu. Pasakkan kakimu kuat ke tanah dan berdirilah. Kita semua faham hidup ini bukan semudah yang disangka. Tuhan sudah janjikan bahawa akan datang dugaan-dugaan dalam hidup, mengukur setinggi mana keimanan kita. Pelbagai ujian akan singgah setelah indah pelangi kita kecapi.

Inikan pula cinta manusia. 

Redhalah dengan jodoh itu sehinggamana yang Allah tentukan. Bangkitlah meneruskan hidup yang jauh lebih berharga kurniaan tuhan. Pandang sekeliling, masih ramai yang menyayangi - ibu bapa, teman2 dan yang paling penting ; Allah pencipta kau sendiri. Sakit memang sakit, tetapi ada hikmah dari segala apa yang tuhan kurniakan. Allah takkan sesuka hati menurunkan dugaan kalau bukan kerana sayangnya Dia kepada kita.

Kita sesungguhnya tidak akan mengetahui apa rancangan tuhan kepada hambaNya. Boleh pergi bila saja yang tuhan rencanakan, atau boleh kekal hingga ke syurga. Jadi selalu dekatkan diri kepada tuhan. Solat itu mengusaikan segala yang memberat di dada, maka jangan sesekali lupa dan mungkin boleh melebihkan yang sunat setiapkali sedih menjelma.

Dan bila kau sudah bangun dan berlari jauh, berhentilah sebentar melihat dirimu yang semalam dan berbanggalah terhadap dikau yang bisa melepaskan diri dari duri :)


Thursday, April 11, 2013

impian.

Nah,masa untuk berangan.
Untuk bicara tentang angan-angan. Biar yang sudah tercapai, hatta yang belum mula. Mari kita bicara tentang sesuatu yang tidak pasti. Siapa bilang hidup tak boleh berangan? Siapa larang memasang cita-cita tinggi walau duit tidak berkoyan? Walau yang lain sudah sampai ke bulan, kita ini yang belum pernah tengok kapal depan mata pun boleh simpan hasrat ke sana juga.

Selagi kita percaya yang tidak ada benda yang mustahil sifatnya.
Selagi kita percaya kalau ada ingin kita, dan usaha tidak putushabis; maka kita juga mampu.

Dan paling penting --
jangan sesekali lupa. jangan sesekali hilang rasa-
Bahawa tuhan itu ada, yang memilik segala cakerawala. Apa yang kita angankan, apa yang kita mahukan, semuanya atas izin Dia. Seperti mahu sesuatu di alam nyata juga - contoh paling mudah;

Kalau lapar, cari makan. 
Bangkit, sapu punggung.
Angkat kaki, langkah.
Pergi dapur. Buka saji.
Ikut nasib. Ada nasi,ada lauk. Senang.
Kalau kosong, jawabnya kena masak dulu.

*langkah beberapa step bergantung pada kepingin makan apa*

Baru kenyang.

Sekarang lihat kembali. Bukan mudah. Nak makan pun banyak usahanya. Walau step berjuta mana pun, pengkahiran kepada manusia berusaha insyaAllah akan sama. 

Tak percaya?
Apa kata kita cuba,mula dari sekarang? :)

dan pada setiap satunya.

Terbitnya sinar menyuluh bumi
Kau tarikkan diriku ke rangkulmu
Kau susun serak rambutku berjuntaian
Menatap iris biar sampai yang terpaling dalam
Biar sampai ke jiwa aku
Memanah aku seperti selalu

Kerana kau, arjunaku;

Jiwa aku yang calar balar bekas luka terjatuhgolek
Kau tiupkan biar pergi tajam sakitnya
Hati aku yang kosong isinya
Kau lagukan irama menghambat sepi
Sekujur aku ini, katamu --
Hidupmu,
Jiwaragamu,
Syurga cintamu
Aku yang ranap ini,
Kekasih hidup mati.

Setiap satunya perkataan itu,
Tiada satu omongan kosong memamah percaya
Semuanya dengan janji tertunai belaka
Maka pada setiap satunya
Menyambung nafas menghidup nyawa 
Kerana ini --
Memberi aku sebab untuk berdansa bahagia.




Wednesday, April 10, 2013

lepas pergi.

Senyum manismu
ledak tawamu
genggam eratmu
sentuh lembutmu

kau usai segala ranapku
kau kutip dan jahit kembali
walau berperca-perca
tetap kau kata cantik

zikir kau alunkan 
buat ubat jiwa, bilang kau
kau saja yang tahu betapa pecahnya
betapa hancurnya jiwa rapuh aku
bersepai hilang dibawa pergi angin

tapi kau dakap aku yang kurang ini
kau bina kembali walau tak sempurna
bisikmu, lepaskanlah.
aku ada.


Ke hujung dunia.

Jauh,rasanya.
Sampai ke hujung dunia kau hambat hati aku.
rasa aku. perasaan aku.

Apa tidak ada nilai walau sedikit di hati kamu?
kata-kata caci, kata-kata benci --
rasa biasa,jadi lauk pagi petangku.
mengenyangkan tembolok rasa punahku.

Dari hujung rambutmu ingin aku sisir rapi,
hingga mahu dimarah pada angin menampar rosak anggunmu,
membawa pergi harummu,
hingga terperosok aku terduduk menunggu --
lama.

Kau agaknya sudah lupa,
aku di sini menunggu mengira waktu,
mengharap kembalinya kamu si cinta aku,
sayang aku, yang aku puja yang aku rindu.

Agaknya sudah luput cintamu pada aku yang bodoh menunggu ini,
mungkin rencahnya lebih manis dari sentuhan rasaku,
suapnya lebih nikmat dari lembut jemariku.

Kau,sudah jumpa perempuan idamanmu.
yang mana --
suatu masa dulu,
itu aku.

Bisik.

Sayang,
dengarkan suara gemersikku,
melontar sehalus bicara,
menyeru dari lihat mata,
menyebut rasa cinta.

mari sini --
ke hangat dakapku.
aku sudah kembali.

Monday, December 15, 2008

sakit.

seperti dipijak
seperti dicincang
seperti dihenyak
seperti dilebur
seperti dipecah
seperti ditumbuk
seperti ditampar
seperti direnyah

seperti itu,
sakit hati aku.

Sunday, December 14, 2008

layangkan di puput angin.

indahnya hidup
kalau dilakar warna pelangi
dan memandang indah hijau rumput
lalu berlari menongkah angin

dan tiada suara yang melarang
tiada guruh mahu berdentum

gemersik suara halus
menyanyi-nyanyi lagu gembira
dikhabarkan rasa suka hati
ada yang menyunting mahu berteman
mahu berteman

lalu di situ lah dia
di atas rerumput hijau
melabuh dan mendongak langit
di angin sejuk itu
memejam mata mengecap bahagia

kekasih,
aku sudah layangkan di lembut angin,
moga kau capai,
dan simpankan cinta aku.



Saturday, December 13, 2008

biar saja.

dongeng anak anak
kita dengarkan

ayat ayat quran
berdua kita alunkan

dipisah tabir rumah tuhan
kita sujudkan

di dalam satu ruang
kita di ajarkan

membesar seusia
mengenal satu dunia
belajar menjadi manusia
dan terbit rasa cinta

rasa hanya kutitip lewat suara hati
alangkah bahagia kalau engkau terdengarkan
supaya tahu ada jiwa yang mengharap
supaya tahu ada jiwa yang mengasih

bergunung kenangan kita
bersahabat dan selesa
ada getar takut dijiwa
mungkin musnah kerana cinta

dan aku fikirkan biar simpankan saja rasa itu
kerana bersamamu saja aku sudah bahagia.

sekarang,pergi.

sekarang
toreh wajah aku
kalau ada darah
kalau masih panas

sekarang
tampar wajah aku
yang dulu engkau kucupkan
kalau masih ada rasa
kalau masih aku tangiskan

sekarang
ludahkan pekat liurmu
kalau masih aku melutut
kalau masih aku rayukan
supaya jangan tinggal-tinggalkan

sekarang
aku kaku
aku mati
aku kosong

jiwa aku sudah kau keringkan
cinta aku sudah kau lemparkan

sekarang,
pergi.
aku tak perlu cinta lagi.

masih ingatkah.

air yang menitis di jurai rambut kamu
mengalir di setiap liku tubuh
merentas selaju darah
mencapai melekap di dada tanah


malam yang pekat melindung kita
walau basah setiap perca
itu waktu penentu segala
adakah jiwa,adakah cinta


semoga engkau masih sihat
untuk mengungkap dan lihat kembali malam itu
untuk kau rasakan kembali yang mengujakan itu
seolah kau lihat kembali ke mata aku


di malam pekat basah itu,
masih ingatkah;
kali terakhirnya kau cium pipi aku,
dan kali pertama aku rasa sakitnya ucap tinggal itu.